Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | ADA waktunya, pasaran bergerak tanpa gegak-gempita. Ia tidak perlu menghebahkan apa-apa, cukup sekadar menunjukkan angka dan angka itu berbicara.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) memaklumkan bahawa ringgit mengukuh sebanyak 8.21 peratus berbanding dolar AS, menjadikannya mata wang paling berprestasi tinggi di Asia setakat November 2025.
Statistik itu membawa makna yang lebih dalam daripada sekadar pergerakan mata wang.
Ia mengisyaratkan sesuatu yang sedang berubah di bawah permukaan ekonomi Malaysia: keyakinan yang semakin pulih terhadap hala tuju negara, kepimpinan PMX dan dasar Kerajaan MADANI.
Pengukuhan ini memang berlaku dalam konteks global, Federal Reserve AS menurunkan kadar faedah, mendorong aliran modal keluar dari dolar.
Namun persoalan utamanya ialah mengapa Malaysia menikmati peningkatan yang lebih ketara berbanding Australia, Taiwan, Singapura atau China?
Jawapannya tidak terikat pada faktor luaran semata-mata. Ia berkait rapat dengan sesuatu yang lebih asas: persepsi terhadap kestabilan politik, disiplin fiskal, serta keberanian kerajaan membuat keputusan yang tidak selalu popular tetapi perlu.
Menariknya, jika dibaca melalui kerangka pemikiran Ibn Khaldun dalam karya agungnya, Al-Muqaddimah, fenomena ini sebenarnya seiring dengan teori beliau mengenai kekuatan negara, kestabilan pentadbiran dan hubungan antara keyakinan rakyat dengan kemajuan ekonomi.
Ibn Khaldun menjelaskan bahawa setiap kerajaan yang mampu mengekalkan ketertiban, disiplin dan pengurusan yang berhemat akan memperoleh kepercayaan masyarakat.
Apabila kepercayaan itu terbit, kegiatan ekonomi menjadi lebih rancak, modal bergerak lebih bebas dan negara memasuki fasa kemakmuran.
Pengukuhan ringgit hari ini, dalam banyak hal, ialah manifestasi moden kepada teori klasik Ibn Khaldun tersebut.
Pilih Jalan Sukar
PMX sejak awal pentadbiran memilih jalan sukar: tidak populis, tidak berbelanja melampau dan tidak menjanjikan bulan bintang untuk membeli sokongan politik.
Kerajaan MADANI bertegas mengurangkan subsidi pukal, menyalurkan bantuan secara tersasar serta menurunkan defisit secara berperingkat.
Ibn Khaldun pernah menulis bahawa kerajaan yang bijak “tidak membebankan harta negara pada perkara yang sia-sia” kerana kestabilan fiskal adalah asas ketahanan politik.
Justeru, apabila kerajaan menunjukkan disiplin dalam pengurusan belanjawan, pasaran membaca isyarat itu sebagai tanda negara berada di tangan yang stabil dan berorientasikan jangka panjang, bukan kepimpinan yang tunduk kepada desakan populisme singkat.
Keadaan ini melahirkan apa yang dalam ekonomi moden disebut sebagai nilai tambahan keyakinan (confidence premium), iaitu nilai tambah yang diterima sesebuah mata wang apabila pelabur percaya kepada dasar kerajaan.
Ringgit sedang menikmati keyakinan itu. Para pelabur melihat Malaysia bukan lagi sebagai ekonomi yang terumbang-ambing tetapi sebagai negara yang berani merubah struktur ekonomi walaupun reformasi itu menyakitkan pada peringkat awal.
Ibn Khaldun turut menegaskan bahawa sebuah kerajaan yang menjaga keadilan fiskal dan kestabilan sosial akan menghasilkan masyarakat yang produktif dan pelabur yang berkeyakinan.
Walaupun beliau menulis pada abad ke-14, intipati pemikirannya tetap relevan: ekonomi berkembang apabila kerajaan dipimpin oleh kebijaksanaan dan ketertiban.
Pencapaian Malaysia mencatat lebihan imbangan pembayaran sebanyak RM0.7 bilion, buat pertama kali dalam 14 tahun, menjadi pengesahan tambahan bahawa ekonomi berada dalam trajektori pemulihan.
Ia ditunjangi peningkatan eksport, rangsangan sektor perkhidmatan bernilai tinggi dan pemulihan pelancongan yang sangat ketara.
Ibn Khaldun menyatakan bahawa masyarakat yang mempunyai aktiviti perdagangan dan produktiviti tinggi akan mengukuhkan kekayaan negara dan memperkuatkan kedudukan pemerintah.
Momentum inilah yang kini membantu ringgit kembali menjadi antara mata wang paling stabil di rantau ini.
Sementara itu, keberkesanan beberapa program ekonomi kerajaan mula menunjukkan hasil konkrit.
Penyelarasan subsidi yang kini lebih tersasar bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tetapi juga mengurangkan tekanan inflasi.
Ini sejalan dengan pandangan Ibn Khaldun yang menegaskan bahawa pemerintah tidak boleh terlalu boros atau menghamburkan bantuan tanpa sasaran kerana akhirnya ia akan menghancurkan struktur kewangan negara.
Pengukuhan ringgit menunjukkan Malaysia kini sedang bergerak keluar daripada perangkap fiskal itu.
Di samping itu, program peningkatan sektor bernilai tinggi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), inisiatif kecerdasan buatan, ekonomi hijau dan transformasi digital sedang menarik minat pelabur yang melihat Malaysia sebagai destinasi stabil yang menawarkan pertumbuhan jangka panjang.
Ibn Khaldun pernah mengingatkan bahawa negeri yang makmur adalah negeri yang berjaya memperluas kepakaran rakyatnya, menggalakkan inovasi dan memajukan kegiatan ekonomi yang berasaskan ilmu.
Dasar-dasar ini menepati logik tersebut dan hasilnya dapat dilihat pada aliran modal asing yang lebih positif sepanjang tahun ini.
Sementara ringgit mengukuh, kerajaan juga memastikan rakyat menerima manfaatnya.
Pemantauan harga diperketat bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan, manakala program seperti Jualan Rahmah diteruskan untuk memastikan barangan asas kekal mampu milik.
Pendekatan ini bertepatan dengan prinsip Ibn Khaldun bahawa kesejahteraan rakyat adalah prasyarat utama bagi kemakmuran sesebuah negara.
Akhirnya, pengukuhan ringgit bukanlah kemuncak kepada segalanya. Ia hanyalah isyarat bahawa Malaysia sedang kembali membina asas ekonominya dengan lebih kukuh dan berprinsip.
Jika dibaca melalui hikmah Ibn Khaldun, nilai ringgit hari ini mencerminkan dua perkara penting: keyakinan terhadap kepimpinan dan kematangan rakyat dalam menyokong reformasi.
Kedua-duanya bergerak seiring seperti yang dihuraikan dalam Al-Muqaddimah dan hari ini Malaysia sedang menyaksikan bagaimana teori klasik itu hidup semula dalam bentuk sebuah mata wang yang semakin perkasa.
Ringgit mengukuh bukan kerana nasib. Ia mengukuh kerana keyakinan. Dan keyakinan tidak muncul tanpa kepimpinan yang berani, berdisiplin dan berprinsip seperti yang kini sedang cuba diwujudkan oleh PMX dan Kerajaan MADANI.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








