Oleh: Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Demam nostalgia KRU kembali membara apabila ribuan peminat dijangka membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil malam ini untuk menyaksikan konsert genKRU THE FINALE.
Sejak beberapa minggu lalu, keterujaan jelas terpancar di media sosial apabila peminat tidak sabar menantikan persembahan terakhir kumpulan legenda itu.
“Jumpa malam ini korang,” kata seorang pengguna media sosial, Joe_Azran.
“Jumpa nanti genKRU,” tulis Amrizzhas di ruangan komen.
Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment bersama KRU itu bukan sekadar persembahan tetapi juga tanda penghargaan kepada peminat yang setia bersama trio adik-beradik itu sepanjang perjalanan seni mereka.
“Ini adalah peluang terakhir untuk kita menutup tirai 2025 dengan sebuah persembahan yang kami yakin menjadi momen terbaik untuk peminat,” kata pihak penganjur dalam satu kenyataan.
Peminat dijangka akan dihidangkan dengan vokal mantap, gaya 90-an yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air serta deretan lagu ikonik yang sudah sebati dalam ingatan mereka.

Konsert dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam ini dengan tiket boleh diperoleh melalui laman rasmi ticket2u.com.my/genkruFinale.
Sebelum ini, konsert genKRU pada Mei lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, mencatat fenomena apabila tiket untuk malam ketiga habis terjual sehingga penganjur terpaksa menambah satu malam persembahan.
Pengasas ICON Entertainment, Imang Tang berkata, sambutan luar biasa peminat menjadi dorongan untuk menambah satu lagi malam konsert kali ini, sekali gus menampilkan semula trio adik-beradik iaitu Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abd Halim di pentas bersejarah.








