CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila Pejabat Negeri Selangor (SSO) menerima Special Recognition Award for Government & Technical Agencies sempena Majlis Selangor Investors Appreciation Award yang berlangsung pada 20 November lalu.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dan diterima bagi pihak MCMC oleh Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri, Bukhari Yahya.
Dalam satu kenyataan, MCMC berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan SSO dalam menyokong pembangunan infrastruktur komunikasi serta memperkukuh ekosistem pelaburan di negeri Selangor.
Ia juga menyerlahkan kerjasama strategik antara MCMC, kerajaan negeri, agensi teknikal dan rakan industri dalam meningkatkan kesiapsiagaan teknikal serta mutu penyampaian perkhidmatan.
Majlis penuh gemilang itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan pelabur dan wakil industri, menandakan sokongan padu terhadap agenda pelaburan negeri.
Bukhari dalam ucapannya berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga SSO dan MCMC.
“MCMC berbangga dengan pengiktirafan ini dan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur komunikasi serta menyokong agenda pelaburan negeri dan negara,” katanya.








