KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Skuad KL Strike Force melancarkan tindakan tegas terhadap jurugambar haram dan penjaja tidak berlesen dalam satu Operasi Bersepadu di kawasan tumpuan pelancong sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.
Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu bertujuan memastikan lokasi ikonik ibu negara kekal teratur, selamat dan bebas daripada aktiviti yang mengganggu pengunjung.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, kegiatan jurugambar haram atau ‘mobilegrapher’ semakin aktif sehingga menjejaskan pergerakan orang ramai di kawasan berkenaan.
“Hasil operasi, sebanyak 23 peralatan ‘mobilegrapher’ telah disita dan 23 notis kompaun dikeluarkan di bawah UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.
Selain itu DBKL berkata, seorang penjaja air tolak tanpa lesen turut dikenakan tindakan dengan peralatannya disita mengikut peruntukan sama.
Kehadiran PDRM dan JPN dalam operasi bersepadu itu memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan pengesahan identiti individu di lokasi berjalan lancar.
DBKL menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi mengekang kegiatan perniagaan tanpa lesen yang mencemarkan imej bandar raya.
“Orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan dan menghormati ruang awam demi memastikan Kuala Lumpur kekal aman, teratur dan selesa untuk semua,” katanya.








