Ketua ‘Geng Musang’ ditahan kes curi kabel ECRL bernilai RM825,000

TEMERLOH: Polis menahan dua lelaki termasuk ketua kumpulan jenayah dikenali Geng Musang kerana disyaki terbabit dalam siri kecurian kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mengakibatkan kerugian lebih RM825,000.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam operasi kira-kira jam 9 malam Khamis lalu di tepi Jalan Kampung Batu Tiga, Jalan Karak, Mentakab.

Menurutnya, suspek utama berusia 32 tahun yang dikenali dengan gelaran ‘Musang’ dipercayai mengetuai kumpulan mencuri kabel berkenaan. Dia ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.

“Kedua-dua suspek ini diburu sejak Ogos lalu kerana disyaki terlibat dalam insiden kecurian kabel projek ECRL di Bentong, Temerloh dan Kuantan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Nasyim berkata, polis turut merampas sebilah kerambit, senjata tajam lain serta sejumlah dadah daripada dua lelaki itu. Pemeriksaan lanjut mendapati mereka positif dadah, manakala salah seorang mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes dadah. Kedua-duanya direman hingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 berhubung rampasan senjata tajam.

Pada September lalu, polis menahan lapan lelaki termasuk dua pekerja projek dan seorang pemilik kedai barang lusuh di Kuantan, Bentong dan Kuala Lumpur kerana dipercayai turut terbabit dalam kecurian kabel ECRL. Hasil serbuan, hampir 5,000 meter kabel berjaya ditemui semula di sebuah premis barang lusuh di Kuala Lumpur serta di beberapa lokasi di Temerloh.

Kecurian berulang sejak Jun lalu didedahkan syarikat kontraktor ECRL yang memaklumkan kejadian itu berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek rel sepanjang 665 kilometer dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan yang dijangka siap pada akhir 2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat