Anwar Tiba di Kenya, Tamatkan Misi Diplomasi Madani ke Tiga Negara Afrika

NAIROBI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Nairobi pada jam 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia), menjadikan Kenya destinasi terakhir dalam rangka misi Diplomasi Madani ke tiga negara di Benua Afrika.

Lawatan rasmi selama dua hari itu merupakan kunjungan pertama Anwar ke republik berkenaan sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Ketibaan beliau disambut Ketua Protokol Kenya, Severine Luyali serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad, sebelum menghadiri jamuan rasmi yang dihoskan Presiden Kenya, Dr William Samoei Ruto.

Esok, Anwar dijadual menerima sambutan rasmi negara dan mengadakan mesyuarat empat mata bersama Presiden Ruto. Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen kerjasama, termasuk dalam bidang pelancongan serta kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Nairobi.

Perdana Menteri juga dijangka menyampaikan ucaptama serta merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Afrika dan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia–Kenya di Nairobi.

Pada tahun 2024, Kenya muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan nilai perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

Sebelum ini di Johannesburg, Anwar dalam satu kenyataan di Facebook berkata lawatan kerjanya ke Afrika Selatan mencapai matlamat utama bagi memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara. Beliau turut memaklumkan lawatan itu membuka ruang kerjasama baharu demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Anwar menambah, Malaysia juga menggunakan pentas Sidang Kemuncak Pemimpin G20 untuk menyampaikan pendirian tegas mengenai isu-isu global yang menuntut keadilan, keamanan dan tindakan kolektif masyarakat antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan kelancaran program sepanjang berada di Johannesburg.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat