Malaysia-Kenya perkukuh hubungan dua hala

NAIROBI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijamu dalam satu majlis makan malam rasmi oleh Presiden Republik Kenya, William Samoei Ruto, sejurus tiba di Nairobi semalam, sebagai simbol penghormatan kepada hubungan erat Malaysia-Kenya sejak lebih enam dekad lalu.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin memanfaatkan sesi ucapan bagi menegaskan kepentingan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Kami meraikan hubungan yang berusia lebih 60 tahun dan komited memperkukuh kerjasama sedia ada,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Kenya dijadual berlangsung pada Selasa, yang akan memberi ruang kepada kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama baharu.

Mesyuarat itu dijangka menumpukan perbincangan dalam pelbagai bidang yang dekat dengan kedua-dua negara.

Kerajaan turut melihat potensi memperluas kehadiran pelabur Malaysia di Afrika Timur selain membuka ruang kepada kerjasama strategik dalam diplomasi selatan-selatan.

Lawatan rasmi ini menjadi sebahagian usaha Malaysia mengukuhkan jaringan antarabangsa di rantau Afrika, selaras dengan dasar diplomasi MADANI yang menekankan hubungan saling melengkapi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat