Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dalam aspek ekonomi, pasaran buruh Malaysia menunjukkan perkembangan positif ketika tenaga buruh meningkat kepada 16.9 juta iaitu naik sebanyak 3.3 peratus berbanding 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan bilangan guna tenaga dan penurunan kadar pengangguran, hasil daripada permintaan domestik yang kukuh, pemulihan sektor luar serta pelaksanaan dasar strategik oleh Kerajaan Madani.
“Kadar penyertaan tenaga buruh mencapai rekod tertinggi 70.6 peratus, menandakan keyakinan rakyat terhadap pasaran pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mendedahkan Malaysia turut mengalami penurunan dari sudut kadar kemiskinan mutlak daripada 6.2 peratus pada tahun 2022 kepada 5.1 peratus kepada 2024.
“Garis kemiskinan relatif pula meningkat selaras dengan pendapatan isi rumah median, daripada RM3,169 kepada RM3,509,” katanya.
Lebih membanggakan lagi apabila, indikator sektor kesihatan negara turut serta menunjukkan peningkatan apabila terdapat catatan nisbah yang lebih baik daripada purata nasional yang memaparkan akses kesihatan yang semakin baik di beberapa negeri seperti Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan My Local Stats, Malaysia, 2024, sebuah penerbitan menyeluruh yang menghimpunkan statistik sosial, ekonomi dan alam sekitar sehingga ke peringkat daerah.
Laporan itu disusun mengikut garis panduan Handbook on Social Indicators yang diterbitkan oleh United Nations Statistics Division, menjadikannya rujukan penting untuk memahami keadaan negara secara lebih mendalam.
Baca juga:








