KOTA KINABALU: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin terasa apabila seramai 24,426 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, polis serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab di seluruh negeri pada Selasa.
Proses pengundian awal bermula seawal pukul 8 pagi di 58 pusat pengundian awal yang dibuka serentak di kem-kem tentera, ibu pejabat polis kontinjen dan daerah serta lokasi khas yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada jumlah itu, 11,697 pengundi awal adalah anggota tentera bersama pasangan, manakala 12,729 lagi terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka.
SPR sebelum ini berkata, semua kertas undi awal tidak akan dikira serta-merta sebaliknya disimpan dengan selamat sebelum dibuka untuk pengiraan pada hari pengundian utama bersama undi biasa.
Suasana di beberapa lokasi utama seperti Kem Lok Kawi dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menyaksikan pengundi hadir lebih awal daripada masa ditetapkan.
Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di beberapa kawasan, SPR berkata, semua pusat pengundian tetap beroperasi seperti biasa dengan persiapan rapi bagi memastikan kelancaran proses.
PRN Sabah ke-17 ini dijangka menjadi tumpuan kerana ia bakal menentukan hala tuju politik negeri dengan pengundi awal hari ini menjadi pembuka tirai kepada jutaan pengundi biasa yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian utama kelak.








