PARLIMEN | Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membangunkan sistem baharu bagi mempertingkatkan penyampaian bantuan kepada golongan rentan, yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal 2027.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sistem baharu itu perlu bagi mengatasi kekangan sistem sedia ada yang telah mencapai tahap penggunaan maksimum, sekali gus menyebabkan kelewatan dalam penyaluran bantuan bulanan.
“Pada masa ini, bayaran disalurkan terus melalui Pemindahan Dana Elektronik (EFT) ke akaun bank penerima, dan mereka boleh memilih mana-mana bank yang paling dekat untuk kemudahan mereka,” kata Nancy ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menambah bagi penerima yang terlepas tarikh pembaharuan tahunan atau tidak mempunyai akaun bank, JKM mengkategorikan mereka sebagai ‘kes terlepas pandang’, dengan permohonan diproses dalam tempoh sebulan.
“Bagi kes mendesak, JKM boleh memberi bantuan segera melalui dana kecemasan sementara pembaharuan diproses. Bagi pemohon tanpa akaun atau berstatus muflis, bantuan tunai dibenarkan supaya kelayakan mereka tidak dinafikan,” katanya.
Setakat ini, JKM menguruskan 556,300 kes dengan peruntukan tahunan sebanyak RM2.29 bilion, menggunakan Paras Garis Kemiskinan Makanan sebagai asas penilaian sambil menilai keperluan sebenar setiap pemohon.
Baca juga:








