PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri menegaskan bahawa meninggalkan Pas tidak bererti meninggalkan perjuangan Islam.
Kenyataan itu dibuat susulan ulasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan ahli yang keluar daripada parti berkenaan sebagai tidak istiqamah dengan dasar perjuangan Pas.
“Ya, benar mereka mungkin tidak istiqamah dengan perjuangan Pas tetapi bukan semestinya tidak istiqamah dengan Islam.
“Perbezaan tafsiran dan strategi politik boleh berlaku dalam memperjuangkan Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Khairuddin berkata, meskipun dasar perjuangan Pas berteraskan Islam, parti lain juga boleh menjadikan Islam sebagai asas perjuangan politik.
Menurutnya, perbezaan pandangan dalam strategi dan pelaksanaan adalah sesuatu yang wajar serta dibenarkan.
Beliau turut menekankan bahawa sejarah membuktikan ramai tokoh ulama pernah meninggalkan parti asal mereka untuk menyertai parti lain demi memperjuangkan Islam.
Tindakan itu, katanya, bersifat keharusan dan tidak melibatkan hukum halal atau haram bagi seseorang untuk terikat pada parti tertentu meskipun berjenama Islam.
“Tidak bersetuju dengan pendirian Pas tidak bererti tidak setuju dengan Islam.
“Perjuangan Islam boleh diteruskan dengan cara yang berbeza daripada Pas,” katanya.
Khairuddin berkata, istiqamah sepatutnya merujuk kepada Islam itu sendiri dan tidak boleh dihadkan hanya kepada Pas.
Katanya, Pas hanyalah sebahagian daripada umat Islam yang berpegang kepada prinsip Islam.
Beliau turut menasihatkan ahli yang masih kekal dalam Pas agar terus mengkritik kelemahan serta memperkasakan aspek yang baik demi kebaikan parti dan perjuangan Islam secara keseluruhan.
“Tindakan meninggalkan Pas bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian parti adalah harus.
“Tiada dosa atau pahala dalam keputusan tersebut,” tambahnya.








