MAWIM Bimbang, Seru Tindakan Segera Henti Kehamilan Remaja

PETALING JAYA: Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) menzahirkan kebimbangan terhadap laporan terbaru yang menunjukkan lebih 40,000 kes kehamilan remaja direkodkan antara 2020 hingga 2024.

Daripada jumlah itu, hampir 17,000 remaja tidak berkahwin, sekali gus menuntut tindakan pantas dan bersepadu daripada semua pihak bagi menangani isu yang semakin meruncing itu.

Pengerusi MAWIM, Profesor Dr Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, MAWIM menyatakan sokongan terhadap inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang memberi fokus kepada pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti bagi remaja terlibat.

Namun tegasnya, pendekatan holistik perlu diperluas dengan melibatkan institusi agama, badan bukan kerajaan, sekolah, pemimpin komuniti dan ibu bapa agar keberkesanan dapat dicapai di peringkat akar umbi.

“Remaja perlu dibimbing dengan pendekatan berhikmah, empati dan tidak menghukum, agar mereka mampu membuat keputusan lebih bertanggungjawab serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, MAWIM turut menawarkan diri untuk memainkan peranan aktif melalui program advokasi, bimbingan psikososial dan modul pendidikan berasaskan nilai Islam serta pembangunan sahsiah remaja.

Selain itu Dr Zuriati menggesa satu pembangunan pelan tindakan nasional yang komprehensif, merangkumi pencegahan awal, intervensi krisis dan pemulihan jangka panjang bagi menangani isu kehamilan remaja.

Menurutnya, dengan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan Islam dan masyarakat, ekosistem selamat, berilmu dan berakhlak dapat diwujudkan untuk melindungi generasi muda negara.

Anda Mungkin Berminat