Siti Nurhaliza Raih ‘Lifetime Achievement Award’

PETALING JAYA: Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025 mengumumkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai penerima ‘Lifetime Achievement Award’, satu penghormatan tertinggi yang mengiktiraf perjalanan seni dan keusahawanan beliau selama lebih tiga dekad.

Pengiktirafan itu bukan sahaja meraikan pencapaian Siti sebagai figura seni tersohor tetapi juga peranannya sebagai inspirasi kepada generasi wanita Malaysia.

“Saya bersyukur atas anugerah ini dan berharap ia menjadi dorongan kepada wanita bahawa kita kini berada di barisan hadapan, bukan hanya di dapur,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Untuk info, AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards merupakan antara platform nasional paling berpengaruh dalam mengiktiraf wanita berprestasi tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negara dan reputasi Malaysia di peringkat global.

Selain Siti, malam itu turut menyaksikan beregu badminton negara, Pearly Tan–M. Thinaah, menerima Rising Star Award, kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini bagi menghargai bakat muda yang sedang mencipta nama.

Anugerah tersebut turut mengiktiraf tokoh wanita daripada pelbagai sektor seperti kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.

Antara penerima lain termasuk pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh kemanusiaan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood serta Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara, Nenney Shuhaidah Shamsuddin.

Proses penjurian melibatkan tiga peringkat saringan bermula dengan 300 calon sebelum 50 penerima terbaik dipilih oleh panel audit profesional, menjadikan pengiktirafan ini antara yang paling ketat dan berprestij di Malaysia.

Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, anugerah itu selari dengan agenda nasional memperkasa wanita.

“Ia bukan sekadar pengiktirafan tetapi usaha memperkasa peranan wanita dalam masa depan negara,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah pula berkata, penganjuran ini seiring komitmen bank terhadap Responsible Banking with Impact di bawah Pelan Strategik AX28.

“Wanita kini memegang 33.1 peratus kerusi lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam dan 28 peratus dalam keseluruhan syarikat tersenarai. Ia membentuk tadbir urus lebih kukuh,” katanya.

Anda Mungkin Berminat