PARLIMEN | Kerajaan memberi jaminan bahawa pemilik akaun elektrik yang sah tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap bil atau hutang yang terhasil daripada penipuan atau penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan baharu bagi mengekang pemalsuan identiti, pembukaan akaun keldai dan penyalahgunaan maklumat pengguna.
“Sejak Julai 2023, TNB melaksanakan pengesahan biometrik menggunakan cap jari dan MyKad di semua Kedai Tenaga.
“Bagi permohonan dalam talian pula, sistem electronic Know Your Customer (eKYC) digunakan dan akan diperluas secara berperingkat tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, langkah keselamatan tersebut penting bagi memastikan pemilik akaun tidak menanggung beban bil yang terhasil daripada aktiviti penipuan termasuk kes yang didakwa melibatkan orang dalam untuk tujuan mencuri elektrik.
Fadillah berkata, penggunaan teknologi pengesahan terkini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan sistem bil elektrik negara.
“Kaedah biometrik dan eKYC bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna dan memastikan pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan komited memperkukuh keselamatan sistem bil elektrik secara berterusan bagi melindungi pengguna dan memelihara integriti rangkaian bekalan negara.








