PUTRAJAYA: Sentimen perniagaan negara menunjukkan peningkatan ketara menjelang suku keempat 2025 dengan Petunjuk Keyakinan (CI) melonjak kepada 6.2 peratus, menurut Statistik Kecenderungan Perniagaan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ini mencerminkan jangkaan persekitaran perniagaan yang lebih positif merentas hampir semua sektor utama berbanding suku sebelumnya.
Sektor Perkhidmatan kekal paling optimistik dengan peningkatan CI 10.0 peratus, dipacu subsektor Insurans, Pendidikan dan Kesihatan. Sektor Industri turut mencatatkan peningkatan kepada 5.8 peratus, manakala Perdagangan Borong dan Runcit kembali pulih dengan CI 3.5 peratus selepas mencatat bacaan negatif sebelum ini.
Bagaimanapun, sektor Pembinaan masih menunjukkan sentimen berhati-hati dengan penurunan CI 1.2 peratus, meskipun angka itu lebih baik berbanding suku ketiga.
Mengikut negeri, sebahagian besar mencatatkan keyakinan meningkat termasuk Johor, Kelantan, Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Hanya Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Perlis merekodkan sentimen negatif, menggambarkan cabaran setempat yang masih menekan prospek perniagaan.
Bagi tempoh enam bulan akan datang (Oktober 2025 hingga Mac 2026), prospek perniagaan keseluruhan kekal optimistik dengan imbangan bersih meningkat 12.0 peratus, disokong pemulihan kukuh sektor Perdagangan Borong dan Runcit serta jangkaan positif daripada sektor Perkhidmatan, Pembinaan dan Industri.
Subsektor Pendidikan serta Makanan dan Minuman dijangka menjadi pemacu utama sektor Perkhidmatan bagi tempoh tersebut, masing-masing mencatat imbangan bersih lebih 40 peratus.
Malaysia baru-baru ini mencatat pencapaian bersejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak daripada kedudukan ke-67 sebelum ini peningkatan yang turut dikaitkan dengan usaha DOSM memperkukuh keterbukaan data melalui platform OpenDOSM NextGen.
Baca juga:








