Keputusan Shamsul Letak Jawatan Bukti Komitmen Integriti Kerajaan Madani – Anwar

INANAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan susulan dakwaan rasuah membuktikan bahawa Kerajaan Madani berpegang teguh kepada prinsip integriti.

Menurut Anwar, tindakan Shamsul Iskandar melepaskan jawatannya secara sukarela sebelum siasatan dijalankan adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam pentadbiran terdahulu.

“Beliau terus meletak jawatan dan meminta siasatan dijalankan oleh SPRM. Mana ada dulu macam itu? Ada tuduhan, terus berhenti dan panggil SPRM siasat. Barulah kita ada integriti,” katanya ketika sesi townhall program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam, pada Khamis.

Beliau turut membandingkan situasi terdahulu yang menurutnya tidak menunjukkan contoh integriti sebenar.

“Dulu, kalau Perdana Menteri disiasat, menantu lari ke luar negara. Nak cakap soal integriti… integriti apa itu?” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau sentiasa mengingatkan semua petugas dan pegawai agar bertanggungjawab sekiranya terlibat dalam salah laku yang mencemar kredibiliti pentadbiran.

Beliau menegaskan, kerajaan hanya dapat ditadbir dengan baik sekiranya asas integriti dipertahankan oleh semua pihak.

Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berikutan dakwaan yang didakwa cuba digunakan untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat