PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa Ribut Tropika Senyar kini berada di perairan Selat Melaka dan dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri di Semenanjung, termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula hari ini sehingga Sabtu.
Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada, khususnya di kawasan berisiko hujan lebat berterusan, angin kencang dan banjir kilat.
“Keutamaan kita adalah keselamatan. Utamakan keselamatan keluarga, elakkan aktiviti luar yang berisiko dan patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan,” katanya dalam satu kenyatan pada Khamis.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, Dr. Zaliha mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya serta mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Orang ramai digalakkan mengikuti maklumat rasmi dan amaran cuaca terkini melalui laman web serta media sosial METMalaysia dari semasa ke semasa dan menghubungi DBKL di talian 03-2617 8862 / 019-212 0032 PPj: 03-8887 7999’ ujarnya.
Baca juga:








