Anwar Tegaskan Komitmen Pembangunan Sabah, Seru Rakyat Tolak Politik Perpecahan

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup rangka lawatan kerjanya di Sabah pada Khamis dengan menghadiri sebuah rapat umum bersama calon-calon Pakatan Harapan (PH) di Likas, sambil membawa mesej jelas mengenai komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan negeri itu.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, Sabah berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama serta kerajaan pimpinannya tidak menjadikan perkara itu sekadar slogan.

“Sabah berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, dan di bawah Kerajaan MADANI, komitmen itu bukan lagi retorik sebaliknya sedang diterjemah melalui pelaksanaan yang nyata,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian tegas bahawa hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dihormati dan diperkasakan, bukan dijadikan modal politik bermusim.

“Hak Sabah dalam MA63 mesti dihormati, ditunaikan dan diperkasakan, bukan dijadikan slogan setiap kali musim politik tiba,” tegasnya.

Anwar berkata, banyak isu asas yang tertangguh sejak sekian lama kini dipacu dengan lebih pantas termasuk penambahbaikan bekalan elektrik, pembinaan rangkaian jalan raya serta penyelesaian masalah air yang membebankan rakyat setiap tahun.

Beliau menolak dakwaan bahawa kerajaan hanya menabur janji, sebaliknya menegaskan usaha pembaharuan sedang berjalan secara sistematik.

“Saya tidak datang membawa janji kosong. Kerajaan MADANI sedang mengukuhkan tatakelola, menutup ruang ketirisan dan memastikan setiap sen yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan keperluan hubungan yang kukuh dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan hasil pembangunan kembali kepada rakyat.

“Perlu sinergi yang kuat, jujur dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri demi memastikan hasil pembangunan benar-benar kembali kepada rakyat terbanyak di Sabah.

“Saya menyeru rakyat Sabah untuk bangkit bersama, menolak politik yang memecah-belahkan dan memberi ruang kepada calon Pakatan Harapan untuk bersama menabur bakti, memperjuang hak rakyat dan membawa Sabah ke tahap yang lebih maju, inklusif dan bermaruah,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat