PRN Sabah: ‘Urang Sabah Bebas Memilih Mereka Mahu’ – Kamil

PETALING JAYA: Rakyat Sabah bakal menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang, sekali gus membuka ruang kepada pemimpin yang benar‑benar mampu membawa perubahan bermakna.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, suasana kempen pilihan raya di Sabah ibarat musim perayaan dengan pasukan menjelajah kampung, bertemu penduduk dan mendengar sendiri aspirasi rakyat khususnya di kawasan desa dan pedalaman.

Menurutnya, pendekatan bersemuka dan ziarah rumah ke rumah kekal penting bagi memahami isu sebenar yang membelenggu masyarakat.

Katanya, keperluan asas seperti bekalan air, keadaan jalan raya dan pengurusan kawasan masih menjadi antara perkara paling mendesak bagi rakyat Sabah.

“Kita percaya rakyat Sabah boleh berfikir secara waras dan membuat penilaian sendiri.

“Mereka tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Kamil berkata, setiap pengundi perlu menggunakan hak mereka dengan penuh kebijaksanaan dan tidak menggadaikan masa depan negeri demi tawaran bersifat sementara.

“Semangat bersemuka dengan rakyat juga dilihat sebagai cara terbaik untuk mendekatkan pemimpin dengan aspirasi pengundi, selain membina keyakinan bahawa setiap undi memberi impak besar kepada masa depan negeri.

“Saya menyeru pengundi memilih pemimpin yang adil, saksama dan mampu membawa kestabilan serta pembangunan jangka panjang,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat