6,222 Rakyat Malaysia Terjejas Banjir Di Hat Yai Selamat Dievakuasi

PUTRAJAYA: Semua 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir besar di Hat Yai, Thailand akhirnya berjaya dievakuasi sepenuhnya melalui operasi bersepadu melibatkan Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Operasi yang bermula pada 22 November itu turut disokong lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan sukarelawan Malaysia yang membantu mengesan dan memindahkan mangsa dari kawasan terjejas.

Pada hari terakhir operasi, baki 12 rakyat Malaysia yang masih terperangkap berjaya dibawa pulang melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.

Menurut Kementerian Luar Negeri, operasi dijalankan dalam keadaan yang amat mencabar termasuk arus deras, paras air yang tinggi serta gangguan komunikasi yang menyukarkan pencarian mangsa.

“Walaupun berdepan pelbagai halangan, semua mangsa berjaya dikesan termasuk mereka yang terperangkap di lebih 150 hotel dan penginapan kecil,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas bantuan dan koordinasi yang diberikan sepanjang operasi menyelamat.

Sokongan itu disifatkan sebagai simbol solidariti dua negara ketika berdepan krisis kemanusiaan.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar turut mengiktiraf sumbangan pasukan sukarelawan termasuk Tim Truck Towing Perlis, Bas FTC Insurance–C3, Persatuan Sikhs Malaysia, TravelThai.My, pasukan jetski serta pelbagai Pasukan Bomba Sukarela dari seluruh negara.

“Komitmen mereka mencerminkan semangat kemanusiaan dan perpaduan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang ke kawasan berisiko banjir agar mendaftar perjalanan dengan pejabat diplomatik terdekat bagi memudahkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan dan bersedia memberikan bantuan tambahan kepada rakyat Malaysia yang masih memerlukan.

Banjir besar yang melanda wilayah selatan Thailand sejak minggu lalu menyebabkan ribuan pelancong dan penduduk tempatan terperangkap termasuk rakyat Malaysia yang berada di Hat Yai dan kawasan sekitarnya.

Operasi evakuasi besar-besaran digerakkan selepas paras air meningkat mendadak dan rangkaian komunikasi di bandar itu terputus.

Anda Mungkin Berminat