KANGAR: Situasi banjir di Perlis menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penduduk yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus berkurangan sejak malam tadi.
Sehingga jam 9 pagi Isnin, portal Bencana NADMA merekodkan seramai 2,523 mangsa daripada 780 keluarga masih ditempatkan di 12 PPS, berbanding 3,009 orang sebelum ini.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud, sebanyak 12 PPS telah pun ditutup, melibatkan enam di Padang Besar antaranya SK Titi Tinggi, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, SK Felda Mata Ayer, SK Batu Bertangkup, SK Beseri dan SK Bukit Keteri.
Di Arau dan Kangar pula, tiga PPS masing-masing ditutup membabitkan UiTM Cawangan Perlis, SK Guar Nangka, UniMAP Kubang Gajah, SK Behor Empiang, IKBN Kuala Perlis dan SK Sena.
Cuaca cerah dan panas terik sejak pagi memudahkan lebih ramai penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk memulakan kerja-kerja pembersihan pascabanjir.
Pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan turut menggerakkan bantuan, termasuk membantu membersihkan kediaman dan menyalurkan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas.
Sukarelawan dari dalam dan luar Perlis juga dilihat terus membantu bagi mempercepat proses pemulihan selepas banjir.
Baca juga:








