KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua sebagai pencapaian besar yang membuktikan kemampuan Malaysia membangunkan teknologi sendiri meskipun berdepan kekangan pemindahan teknologi luar negara.
Beliau berkata kejayaan itu jelas menunjukkan kekuatan sebenar industri automotif tempatan, terutama apabila Perodua berjaya melaksanakan pembangunan EV nasional walaupun tidak menerima teknologi luar secara menyeluruh.
“Rupa-rupanya ada kekuatan dalaman. Walaupun teknologi tak diberi sepenuhnya, kita buktikan kita mampu berdiri sendiri,” katanya pada majlis perasmian kenderaan pertama EV perodua pada Isnin.
Anwar turut memuji komitmen warga Perodua yang terus berusaha menghasilkan EV tempatan meskipun berdepan pelbagai kekangan teknikal.
“Semangat kerja mereka, satu daya juang luar biasa. Ibarat patah dayung, dengan tangan pun kita masih mampu mendayung,” katanya lagi.
Menurut Perdana Menteri, projek pembangunan EV itu melibatkan pelaburan RM800 juta serta penglibatan lebih 100 tenaga pakar tempatan.
“Lebih 52 vendor domestik turut terbabit bagi memastikan rantaian pengeluaran kekal berasaskan kapasiti negara.
“Pencapaian ini menunjukkan tahap keyakinan syarikat terhadap kemampuan tenaga tempatan” ujarnya.
Anwar turut menegaskan pelancaran berkenaan bukan sekadar penambahan produk baharu, tetapi simbol hala tuju baharu negara dalam bidang teknologi tinggi.
“Ini bukan pelancaran biasa. Ini pelancaran istimewa yang menunjukkan kemampuan sebenar negara. Kerajaan pastinya akan sentiasa memberi sokongan secara berterusan kepada Perodua” katanya.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Baca juga:








