Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA; Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 perlu dilihat sebagai perkembangan penting dalam landskap politik negara, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis, Noor Amin Ahmad.
Beliau berkata perubahan status daripada pilihan raya negeri kepada PRU bukan sekadar langkah teknikal, sebaliknya menandakan peranan Sabah yang semakin besar dalam struktur pentadbiran Persekutuan.
“Perbahasan siapa menang atau kalah hanyalah sisi kecil politik.
“Yang lebih penting adalah persoalan kenegaraan, hala tuju pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya menerusi kenyataan Facebook pada Isnin.
Mengulas mengenai sentimen “Sabah untuk Orang Sabah”, Amin menjelaskan bahawa slogan itu telah wujud sejak lebih sedekad lalu namun sering dimaknai secara defensif sehingga memperbesarkan jurang Sabah–Semenanjung.
Menurutnya, wacana politik berasaskan identiti seperti “siapa lebih Sabahan” tidak membantu menyelesaikan isu pokok termasuk jurang pembangunan, kemiskinan, dan pengurusan hasil negeri.
Beliau turut mengimbas ketika pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota PKR Sabah, apabila seorang ahli bertanya sama ada Sabah akan terus dipimpin oleh anak Sabah jika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Anwar menolak pendekatan yang menyemai rasa tidak senang antara Sabah dan Semenanjung, sambil menekankan keperluan memastikan pembangunan negeri itu lebih seimbang dengan wilayah lain,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa, persoalan pihak mana yang menguasai tanah, balak dan hasil negeri tidak boleh dibiarkan ditenggelamkan oleh naratif kebencian palsu.
“Jika hanya bermain sentimen, kita tidak menyentuh masalah sebenar. Kita mesti kekal rasional,” katanya.
Baca juga:








