10 ADUN angkat sumpah jemaah menteri Sabah, ADUN PH antara dilantik

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Senario Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 memperlihatkan seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengangkat sumpah pada Isnin bagi menganggotai Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah selepas dipilih sebagai wakil rakyat.

Difahamkan, Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada petang tadi.

Daripada 10 individu tersebut, seramai tujuh ADUN mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing seorang diwakili oleh Pakatan Harapan (PH), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Barisan Nasional (BN).

BN yang dilantik menganggotai barisan Jemaah Menteri ialah Datuk Jafry Ariffin, yang merupakan ADUN Sukau.

Antara 10 ADUN yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah ialah, Datuk Seri Joachim Gunsalam (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun (GRS), Datuk Ewon Benedick (UPKO), Datuk Arifin Ariff (GRS), Datuk Jamawi Jaafar (PH), Datuk Rubin Balang (GRS), Datuk James Ratib (GRS), Datuk Jafry Ariffin (BN), Datuk Julita Mojungki (GRS) dan Datuk Nizam Titingan (GRS)

Majlis Angkat Sumpah Ahli Jemaah Menteri Baharu Sabah dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Kerajaan GRS pimpinan Hajiji melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (PH) (1), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan STARSABAH (2).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat