Setiap Syor JKmR Akan Diteliti Demi Tadbir Urus Lebih Integriti – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah, serta mendengar pembentangan Laporan Tahunan buat kali pertama.

Laporan berkenaan merangkumi penelitian dan pemeriksaan JKmR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2021 hingga 2024.

Melalui analisis menyeluruh itu, JKmR dapat mengenal pasti trend, perkembangan semasa serta cabaran utama yang dihadapi SPRM dalam usaha memperkukuh pencegahan rasuah di negara ini.

Perdana Menteri berkata, laporan tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan, selain diteliti secara mendalam bersama pengurusan tertinggi SPRM.

Beliau menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik kekal utuh.

“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak.

“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung dan keyakinan rakyat diperteguh.

“Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat