Mustapha Sakmud Arah Tindakan Tegas Susulan Penahanan Pegawai Pejabatnya

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, menegaskan komitmen kementerian terhadap prinsip tadbir urus yang telus dan berintegriti susulan penahanan seorang pegawai di pejabatnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, pihak kementerian telah mengambil langkah segera bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

“Antara tindakan serta-merta yang telah dilaksanakan ialah mengarahkan pegawai terbabit meletakkan jawatan serta-merta daripada pejabat Timbalan Menteri, selain Unit Integriti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut peraturan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola serta sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.

Sebagai Timbalan Menteri, Mustapha Sakmud menzahirkan penghormatan terhadap proses siasatan yang sedang berjalan dan mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan.

“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang pegawai yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

“Kementerian telah mengambil beberapa tindakan tegas bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

“KPT menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola… .

“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat