PETALING JAYA: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Isnin malam bagi membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang disifatkan sebagai isyarat jelas daripada para pengundi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, parti itu mengakui keputusan PRN kali ini menunjukkan wujudnya krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, para pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen turut menyedari wujud ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Semua maklum balas yang diterima akan dikumpulkan dan dibincangkan bersama Perdana Menteri bagi mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.
“DAP Sabah telah membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan,” katanya.
Walaupun tidak menyertai pentadbiran negeri, Loke berkata, kepimpinan DAP Sabah komited untuk terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat dan berusaha mengembalikan keyakinan pengundi.
“Kami (DAP) telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi,” katanya.
Terdahulu, Warisan memenangi kesemua enam kerusi yang dimenangi DAP pada 2020 iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong pada PRN DUN Sabah ke-17.
Sekali gus, ini kali pertama sejak 2004 menyaksikan DAP tidak akan mempunyai wakil dalam DUN Sabah.








