Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Meskipun kerajaan berjaya menurunkan kadar defisit dan hutang negara, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekal sebagai hutang warisan terbesar yang masih ditanggung sehingga kini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus berbelanja secara berhemah kerana hutang statutori berada pada paras 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu masih di bawah had statutori 65 peratus.
Katanya, pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM22.4 bilion, lebih rendah daripada paras 35 peratus yang ditetapkan.
“Bil perbendaharaan Malaysia juga tidak melebihi kerana sekarang RM4 bilion, paras kita RM10 bilion.
“Jadi hutang yang terbesar masih 1MDB yang diwarisi sejak 2018 itu keseluruhannya RM34 bilion termasuk komitmen faedah RM17 bilion.
“Jadi jumlah hutang 1MDB mencecah hampir RM50 bilion, yang sudah dibayar oleh kerajaan hingga kini ialah RM42 bilion ini termasuk prinsipal dan faedah,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Selasa, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengenai jumlah terkini hutang negara serta strategi kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu dan memastikan defisit fiskal terus menurun.
Menurut beliau, setakat ini kerajaan telah membayar RM42 bilion, merangkumi prinsipal dan faedah hutang 1MDB.
Namun beliau berkata, negara masih perlu menanggung baki hutang sekitar RM13 bilion.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa Kerajaan Madani berjaya memperoleh semula RM29 bilion hasil usaha bersama Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Langkah-langkah lain kita ambil ialah untuk meningkatkan pengawalan liabiliti fiskal dengan beberapa konsolidasi fiskal, penyasaran subsidi termasuk RON95.
“Alhamdulillah telah mencatat kejayaan dan mendapat sokongan yang baik dan lain ialah mengurangkan beban kerajaan melalui pelaksanaan prinsip user-pay Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030),” katanya.








