KOTA KINABALU: Walaupun tiada gabungan parti memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), mandat rakyat jelas menunjukkan mereka mahukan sebuah kerajaan negeri yang stabil, inklusif dan berintegriti, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, pembentukan Kabinet Kerajaan Negeri Sabah pada Isnin adalah hasil komitmen semua wakil parti untuk mewujudkan kerangka dan asas utama hala tuju negeri, di mana agenda pembangunan dan hak rakyat Sabah akan dilaksanakan secara tersusun.
Menurut Armizan, kedudukan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas juga menjadi elemen penting dalam memastikan kestabilan dan keberkesanan kerajaan baharu.
“Sungguhpun kesemua lima ADUN Bebas pernah menjadi pimpinan GRS sebelum hari penamaan calon, suara mereka kini atas kapasiti ADUN Bebas amat penting.
“Agenda mendahulukan hak dan kepentingan Sabah menjadi teras utama seperti yang termaktub dalam aku janji pilihan raya semua parti dan ADUN terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook, Isnin.
Beliau menekankan bahawa Kabinet negeri bertanggungjawab memaklumkan rakyat kerangka dan agenda utama negeri sebaik mesyuarat jemaah menteri pertama.
“Dari mana pun datangnya ADUN yang dipilih dan menjadi komponen kerajaan negeri, pastikan aspirasi rakyat Sabah dilaksanakan segera melalui kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti, manakala ADUN pembangkang memainkan peranan sebagai semak dan imbang,” katanya.
Armizan menambah bahawa mandat rakyat yang jelas ini memberi pengajaran bahawa walaupun tiada majoriti kukuh, rakyat mengutamakan kestabilan pentadbiran untuk memastikan aspirasi mereka dapat dilaksanakan secara efektif.
Beliau berharap segala usaha dan ikhtiar kerajaan baharu akan diberkati dan merintis masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya.








