Sabah dan Sarawak diberi lebih tumpuan di bawah Madani – PM


Oleh: Tyah Helmi

DEWAN NEGARA | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan, malah sentiasa berusaha memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak diberi keutamaan.

Anwar berkata, kerjasama erat yang telah lama terjalin akan terus diperkukuh bersama Kerajaan baharu Sabah yang telah dibentuk.

“Hakikatnya, Sabah dan Sarawak diberi tumpuan yang lebih sejak di bawah Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan belanjawan Madani keempat buat tahun 2026 di Sidang Parlimen, Dewan Negara pada Selasa.

Kata beliau, sebanyak sembilan daripada 13 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diselesaikan adalah di bawah pentadbiran Madani.

Selain itu, dana khusus Bumiputera seperti di bawah MARA turut dimanfaatkan oleh Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan tertinggi dan masing-masing meningkat RM6.9 bilion dan RM6 bilion,” ujarnya.

Malah katanya, penyerahan kawal selia elektrik sepenuhnya turut kepada Sabah, disertai peruntukan RM1.2 bilion bagi memastikan kelangsungan bekalan, selain RM765 juta bagi Projek Southern Link.

Selain itu, Kerajaan turut menyuntik dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk projek air Sabah.

Antara manfaat yang turut diberikan adalah apabila, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turu sama-sama membantu dalam membangunkan Sambungan Kabel Dasar Laut Madani bernilai RM2 bilion, demi memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung menikmati manfaat digital yang lebih baik.

Tegas beliau, kemasukan anak Sabah ke dalam perkhidmatan awam turut diberi perhatian serius.

“Pada 2022, lantikan anggota PDRM di Sabah tidak mencecah 500 pegawai. Namun, bagi tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, lebih 2,100 lantikan PDRM terdiri daripada anak Sabah direkodkan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat