PETALING JAYA: Yahoo Finance UK mencetuskan perdebatan apabila menerbitkan semula laporan daripada portal antarabangsa Love Money yang menyenaraikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang pemimpin dunia paling kaya sepanjang zaman.
Menurut laporan tersebut, yang kini hangat diperkatakan, Mahathir ditempatkan di tangga ke-7 dalam senarai 10 pemimpin terkaya dengan anggaran kekayaan sekitar USD40 bilion. Laporan itu turut mendakwa bahawa kekayaan berkenaan berpunca daripada kepentingan dalam lebih 50 bank di seluruh dunia.
Mahathir sebelum ini memimpin Malaysia dalam dua tempoh, dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.
Senarai itu turut menamakan beberapa pemimpin dunia lain, kebanyakannya tokoh yang sering dikaitkan dengan rekod pemerintahan keras atau dianggap diktator oleh media Barat.
Namun, kredibiliti senarai tersebut dipersoalkan memandangkan Love Money sebelum ini pernah menerbitkan dakwaan tidak berasas mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menempatkan beliau sebagai individu ke-17 terkaya dunia.
Dakwaan itu kemudian terbukti tidak benar dan turut menyebabkan seorang pemimpin PAS memohon maaf selepas menggunakan senarai berkenaan untuk menyerang Anwar.
Penerbitan semula laporan kontroversi ini oleh Yahoo Finance UK sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai ketepatan maklumat dan kebergantungan portal antarabangsa terhadap sumber yang tidak disahkan.
Pada September, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa United Kingdom dalam mendapatkan maklumat mengenai aset Tun Mahathir.
Baca juga:








