ULASAN | PRN Sabah Bukan Kiamat, Cuma Uji Ketahanan Politik PH

Oleh: Mohd Najib Hashim

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini disambut dengan pelbagai emosi. Ada yang menjerit kemenangan, ada yang meratap kekalahan, dan ada juga yang terlalu cepat menulis batu nisan politik Pakatan Harapan (PH).

Peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga bekas Ahli Parlimen PH misalnya, memilih untuk melihat keputusan ini sebagai “tamparan hebat” kepada PH, seolah-olah Sabah telah menutup buku riwayat gabungan itu.

Dalam politik, tafsiran sebegini bukan baharu. Tetapi seperti biasa, tafsiran yang terlalu tergesa-gesa selalunya lebih banyak emosi daripada fakta.

Ya, faktanya jelas: DAP Sabah gagal memenangi sebarang kerusi, PKR hanya meraih satu daripada 13, Amanah pula tewas di satu-satunya kerusi yang ditandingi.

Jika kita hanya mahu menilai politik dengan kalkulator dan papan skor, memang PH kelihatan suram.

Tetapi politik, khususnya di Sabah, tidak pernah sesederhana itu. Negeri ini memiliki dinamik etnik, wilayah, dan sentimen tempatan yang jauh lebih kompleks daripada politik Semenanjung.

Sabah bukan medan “tradisi” PH sejak awal, dan sesiapa yang jujur membaca sejarah politik tahu perkara itu.

Masalahnya, dalam budaya politik kita, kekalahan mudah ditukar menjadi drama. PH kalah, maka dituduh gagal total.

PMX dipandang sebagai liabiliti. Anak PM pula dijadikan sasaran. Semua mahu kesimpulan pantas, tanpa mahu bersusah payah membaca konteks.

Itulah politik gaya ekspres – cepat, bising, dan sering tidak adil.

Antara sasaran paling mudah kali ini ialah Nurul Izzah Anwar. Beliau digambarkan seolah-olah “gagal dalam ujian penentu(acid test) Sabah”.

Kritikan ini kedengaran garang, tetapi sebenarnya longgar dari sudut fakta.

Pertama, Nurul Izzah bukan Pengerusi PKR Sabah. Struktur PKR Sabah dikendalikan oleh kepimpinan negeri sendiri.

Peranan pusat adalah sokongan strategik, bukan menentukan segala-galanya. Menghukum seorang Timbalan Presiden atas keseluruhan keputusan sebuah negeri yang kompleks seperti Sabah ibarat menyalahkan juruterbang sedangkan ribut, landasan dan menara kawalan semuanya di luar kawalannya.

Kedua, Nurul Izzah tidak “lari” daripada tanggungjawab politik, sebaliknya sejak kembali aktif, beliau terlibat dalam pengukuhan dasar parti, latihan kader muda dan pembinaan organisasi pasca PRU.

Fokus beliau ialah pembinaan jangka panjang, bukan mengejar kemenangan bermusim. Politik matang tidak diukur melalui satu PRN, tetapi pada keupayaan membina kekuatan yang lestari.

Ketiga, perlu diingat bahawa Sabah bukan negeri tradisi PKR. Landskap politiknya bertunjangkan sentimen autonomi negeri, personaliti tempatan dan isu wilayah yang unik.

Justeru, kegagalan menawan banyak kerusi di Sabah tidak boleh disederhanakan sebagai “kegagalan Nurul Izzah”.

Jika begitu logiknya, semua kekalahan parti di mana-mana negeri harus ditanggung oleh seorang pemimpin pusat sahaja, satu logik yang mudah, tetapi malas berfikir.

Lebih penting, Nurul Izzah kembali ke barisan hadapan PKR bukan untuk jawatan, tetapi untuk membantu menstabilkan parti dalam fasa transisi selepas PH membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam politik, yang membina jarang diraikan segera; yang menjerit selalunya paling kuat disorot kamera.

DAP pula dilabel sebagai mengalami “total wipeout”. Label ini memang sedap untuk tajuk besar akhbar.

Tetapi apakah kekalahan total di Sabah ini bermaksud DAP runtuh secara nasional? Tentulah tidak.

Sabah bukan benteng tradisi DAP sebagaimana Pulau Pinang atau bandar-bandar utama di Semenanjung.

Apa yang berlaku lebih tepat disebut sebagai penolakan bersifat lokal, dipengaruhi faktor tempatan dan sentimen kerjasama politik di peringkat pusat.

Ia isyarat yang wajar didengar, tetapi tidak wajar diangkat sebagai hukuman mati politik.

Nota kaki

Begitu juga Amanah. Menyifatkan Amanah sebagai “nota kaki” memang sedap untuk sindiran, tetapi miskin empati terhadap realiti politik parti muda.

Amanah bukan parti yang lahir dengan jentera berakar puluhan tahun. Ia sedang membina pengaruh secara perlahan, dengan kapital moral dan dasar, bukan dengan politik wang atau selebriti segera.

Dalam politik, ada parti yang menang cepat dan gugur cepat. Ada juga yang kalah lama tetapi tumbuh kukuh.

Bagi mereka yang gemar menggunakan anekdot pemandu Grab sebagai ukuran sentimen pengundi Cina, harus diingat: anekdot bukan data, dan emosi bukan strategi.

Ya, ada pengundi Cina yang resah dengan kerjasama PH–BN. Itu hak mereka. Tetapi mengurangkan keseluruhan keputusan PRN kepada isu “DAP bersama Umno” semata-mata juga satu penyederhanaan berlebihan.

Di Sabah, faktor calon tempatan, jaringan keluarga, isu tanah, dan autonomi negeri jauh lebih dominan daripada ideologi nasional semata-mata.

Apa yang jarang disebut oleh pengkritik adalah pendekatan PH di bawah PMX tidak berpaksikan politik penaklukan, tetapi politik penyatuan.

Anwar Ibrahim datang ke Sabah bukan untuk beretorik besar tentang kuasa, tetapi membawa naratif Malaysia Madani – keadilan, ihsan, dan pembangunan inklusif.

Politik ini mungkin tidak memberi kemenangan segera, tetapi ia menanam asas kepercayaan jangka panjang.

Politik populis boleh menang cepat, tetapi politik institusi menang lambat dan lebih tahan lama.

PRN Sabah harus dibaca sebagai satu peringatan, bukannya malapetaka. Ia mengajar PH bahawa “jenama nasional” tidak cukup tanpa sentuhan lokal yang mendalam.

Ia mengingatkan bahawa dasar pusat mesti diterjemah ke dalam bahasa kampung, nelayan, petani dan pekerja bandar kecil.

Ia juga mengingatkan bahawa politik tidak boleh terlalu selesa di Putrajaya dan menganggap sokongan di negeri datang secara automatik.

Bagi PMX, ujian sebenar bukan keputusan satu PRN, tetapi keupayaan mempertahankan kestabilan negara dalam suasana ekonomi global yang mencabar, memulihkan keyakinan pelabur dan pada masa yang sama menjaga denyut nadi rakyat tentang kos sara hidup.

Dalam semua ini, kerajaan Madani masih berada di landasan yang betul. Ekonomi menunjukkan tanda pemulihan, pelaburan meningkat, dan kebertanggungjawaban fiskal terus diperketatkan. Ini bukan retorik, ini angka.

Budaya politik yang sihat bukan budaya menyembelih kawan setiap kali kalah di satu negeri.

Ia budaya belajar, membetulkan, dan bangkit semula. Dalam politik matang, kekalahan bukan hukuman mati, tetapi medan koreksi. PH tidak tumbang di Sabah; PH diuji di Sabah.

Mereka yang terlalu cepat menutup buku masa depan PH mungkin terlupa satu hakikat asas: politik Malaysia bergerak dalam gelombang.

Yang jatuh hari ini boleh bangkit esok. Yang menang hari ini boleh tumbang tanpa amaran. Bezanya ialah siapa yang membina asas, dan siapa yang sekadar menumpang gelombang.

Akhirnya, PRN Sabah bukan referendum muktamad ke atas PH atau PMX. Ia lebih tepat dibaca sebagai nota kaki kepada sebuah perjalanan yang masih panjang.

Nota kaki memang kecil, tetapi ia sering mengandungi peringatan penting kepada penulis utama. Dan dalam hal ini, penulis utama masa depan politik negara masih sedang membina perenggan-perenggan seterusnya.

PH tidak perlukan panik. PH perlukan disiplin, pembetulan, dan kesabaran.

Dalam politik jangka panjang, itulah mata wang sebenar yang membezakan mereka yang berlari bertempiaran dengan mereka yang berjalan jauh.

Suka diingatkan 20 tahun yang lalu, PH yang tunjangnya PKR berasal dari parti jalanan, kita meratapi siri kekalahan yang panjang. Dikhianati kawan dan lawan.

Tetapi kita memegang kata-kata keramat iaitu “lawan tetap lawan, lawan sampai menang”.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat