PM Tegaskan Kerjasama Pusat – Negeri Tangani Banjir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri menyatakan pengurusan bencana memerlukan sinergi kukuh antara kerajaan pusat dan negeri bagi merangka penyelesaian menyeluruh, termasuk mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir serta memastikan pemantauan yang rapi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa segala keputusan yang dicapai akan diterjemahkan kepada tindakan segera dan proaktif demi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Mesyuarat turut meneliti status semasa banjir yang sedang melanda beberapa negeri dan kesempatan ini saya gunakan bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, yang terus komited membantu rakyat yang terkesan dengan bencana ini.

“Hakikatnya, menghadapi bencana memerlukan sinergi dan iltizam yang padu antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, justeru, kita akan terus memperkukuh kerjasama bagi merangka penyelesaian menyeluruh, termasuk memastikan pemantauan rapi dan pelaksanaan segera projek-projek tebatan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara (MAN) ke-7, platform tertinggi yang menyelaras dasar dan hala tuju pengurusan air antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Mesyuarat turut mendengar taklimat terperinci mengenai pengoperasian empangan dan pengurusan sumber air di seluruh negara, aspek penting bagi memastikan semua infrastruktur berada dalam keadaan optimum, selamat dan berdaya tahan.

Di Dewan Negara pada Selasa, Anwar mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam di seluruh negara yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat