KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk melonjak ke kedudukan 15 terbaik dalam Indeks Perkhidmatan Awam Antarabangsa, setanding dengan negara maju seperti Korea Selatan, sebagai sebahagian usaha mentransformasikan pentadbiran kerajaan menjadi antara yang terbaik di dunia.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata sasaran itu ditetapkan bagi memastikan perkhidmatan awam negara bukan sahaja cekap, tetapi turut diiktiraf di peringkat global, selari dengan agenda reformasi Kerajaan MADANI.
“Menurut Indeks Blavatnik oleh Oxford University, Malaysia kini berada di kedudukan ke-40. Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa sepanjang tempoh saya memegang jawatan ini, saya akan berusaha untuk membawa Malaysia sekurang-kurangnya setaraf Korea Selatan di tempat ke-15,” katanya dalam program Bicara Naratif terbitan RTM malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa untuk mencapai matlamat tersebut, penjawat awam perlu melakukan anjakan paradigma dengan lebih kerap turun padang bagi memahami keperluan dan aspirasi rakyat.
Bagi menggerakkan agenda reformasi itu, beliau berkata Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang berteraskan lima fokus utama telah diperkenalkan, meliputi penghayatan nilai dan tadbir urus, pembangunan modal insan, penyampaian perkhidmatan serta sinergi antara sektor awam dan swasta.

Sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap rakyat, program mega “Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku” akan diadakan di Putrajaya dari 5 hingga 7 Dis ini sempena tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Program tahun ini memberi tumpuan kepada tiga objektif: menilai dan mempamerkan pelaksanaan ARPA dan STAR, memperkukuh budaya prestasi, integriti dan empati dalam perkhidmatan awam, serta mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat melalui pendekatan seluruh negara.
“Ungkapan ‘Bersama Malaysiaku’ membawa maksud bahawa tiada siapa yang akan dipinggirkan. Ia merangkumi semua lapisan masyarakat, kanak-kanak, remaja, golongan bekerja, hinggalah warga emas,” katanya.
Seiring dengan program itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam turut akan diadakan dengan lima sesi forum bagi membincangkan isu kritikal termasuk reformasi birokrasi dan hala tuju Kerajaan MADANI.
Shamsul Azri berkata, inisiatif seperti konvensyen tersebut penting untuk memberikan kefahaman lebih jelas mengenai usaha pembaharuan yang dijalankan demi mencapai sasaran global itu.
Baca juga:








