MCMC Kesan 957 Kandungan Jelik Kanak-Kanak, 899 Berjaya Diturun

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha membanteras jenayah siber melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak apabila berjaya mengesan 957 kandungan jelik sepanjang tahun ini.

Daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan hasil kerjasama dengan penyedia platform media sosial.

Dalam kenyataan media pada Rabu, MCMC berkata, pengesanan dan permohonan penurunan kandungan dijalankan secara berterusan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November 2025.

MCMC berkata, kadar pematuhan penurunan kandungan mencapai 94 peratus dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok dan Facebook.

Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipertingkatkan melalui operasi agresif.

“Operasi Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Operasi Pedo 2.0 pada 22 hingga 30 September 2025 yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” katanya.

Selain tindakan penguatkuasaan, MCMC turut mempergiat Kempen Internet Selamat (KIS) yang telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti.

“Persiapan bagi pelaksanaan ONSA 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 juga sedang dilaksanakan.

“Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 akan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat