Dewan Rakyat Lulus RUU Antibuli 2025

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025, sekali gus menandakan langkah bersejarah dalam usaha kerajaan menangani isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, hadir selepas kerajaan mendedahkan purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun sejak 2019 di sekolah rendah dan menengah.

“Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan sejak tahun 2019, purata lebih 14,000 kes buli dilaporkan setiap tahun di sekolah rendah dan menengah,” katanya ketika membentangkan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Lebih membimbangkan, Azalina turut memetik National Health & Morbidity Survey 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati 8.6 peratus pelajar berumur 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa buli dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.

Antara Ogos hingga Oktober 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 160 kes buli melibatkan fizikal dan atas talian dengan 78 peratus mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun.

“Secara keseluruhan, statistik ini mengesahkan bahawa sekolah merupakan lokasi utama insiden buli dan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dan dengan izin, paling rentan dan lemah,” katanya.

Azalina berkata, sekolah yang sepatutnya menjadi zon paling selamat buat kanak-kanak dan remaja kini dikategorikan sebagai lokasi utama berlakunya insiden buli.

“Terdapat ramai lagi kanak-kanak yang menderita dalam diam, tanpa laporan, suara dan perlindungan menyebabkan kerajaan mengambil tindakan segera.

“Atas dasar itu, bagi fasa pertama, penggunaan akta itu terpakai kepada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah sebelum diperluaskan kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, melalui fasa kedua,” tegasnya.

Kerajaan MADANI bertindak segera apabila pada 29 Ogos lalu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah mengadakan mesyuarat yang pertama antara semua kementerian yang berkaitan bagi meneliti langkah Government (Cabinet) Mandate memperkukuh kerangka perundangan dan mekanisme pencegahan buli di pelbagai peringkat,” katanya.

RUU yang diluluskan ini turut memperkenalkan Tribunal Antibuli, sebuah badan quasi-judicial yang diberi kuasa membuat perintah pampasan atau ganti rugi sehingga RM250,000 kepada mangsa.

“Dalam konteks ini, quasi-judicial bermakna tribunal menjalankan fungsi seperti sebuah badan kehakiman. Ia mendengar keterangan, menilai bukti dan membuat keputusan yang mengikat tetapi prosesnya lebih ringkas dan lebih mesra pengguna berbanding mahkamah,” katanya.

Aduan boleh dibawa ke tribunal dalam tiga keadaan, termasuk jika insiden berlaku di kawasan seliaan institusi pendidikan atau institusi lain tetapi tiada tindakan diambil selepas aduan dibuat kepada jawatankuasa.

Anda Mungkin Berminat