Pindaan Akta FINAS Dilulus, Sektor Perfileman Malaysia Melangkah Ke Era Baharu

KUALA LUMPUR: Industri kreatif negara mencatat satu lagi pencapaian penting apabila Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025, yang dijangka memperkukuh ekosistem perfileman tanah air secara menyeluruh.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, membawa pembaharuan menyeluruh dalam aspek kebajikan kru, standard kontrak, keselamatan produksi dan tadbir urus selaras dengan keperluan semasa industri serta teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021.

“Pindaan ini memperkukuh ekosistem perfileman negara termasuk kebajikan kru, standard kontrak dan keselamatan produksi, agar industri kreatif terus berkembang secara sihat dan berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Langkah itu turut mengambil kira perubahan pesat dalam teknologi dan landskap digital dengan penekanan terhadap kerangka perfileman yang lebih fleksibel dan responsif terhadap realiti semasa.

“Kita juga mahu pastikan kerangka perfileman selari dengan perkembangan teknologi dan landskap digital,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan ruang ekspresi kekal terbuka, kerajaan mengekalkan pengecualian pelesenan bagi pempengaruh dan pencipta kandungan yang menghasilkan karya bukan komersial iaitu satu keputusan yang disambut baik oleh komuniti kreatif digital.

“Pempengaruh serta pencipta kandungan yang menghasilkan karya bukan komersial kekal dikecualikan daripada pelesenan.

“Selain itu, aspek tadbir urus turut diperkemas termasuk takrifan yang lebih jelas dan penstrukturan keanggotaan, selaras dengan teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021,” katanya.

Dengan kelulusan ini, Fahmi berkata, sektor kreatif negara dijangka memasuki fasa pembangunan yang lebih mantap, inklusif dan berdaya saing di peringkat serantau dan global.

“Insya-Allah, langkah ini bakal memperkukuh pembangunan sektor kreatif tanah air,” katanya.

Anda Mungkin Berminat