Oleh: Team Editorial MB
ULASAN | TUN Dr Mahathir Mohamad sekali lagi muncul di pentas sejarah dengan skrip yang sudah kita hafal: laporan polis, tuduhan khianat dan naratif bahawa negara sedang digadaikan kepada kuasa asing.
Bezanya kini, watak yang dituduh bukan lagi musuh politik biasa, tetapi Perdana Menteri yang sedang bergelut memulihkan ekonomi negara pasca ribut panjang pandemik dan kegawatan 22 tahun dicekam pemerintahan ala- diktator.
Pada usia lebih seratus tahun, Tun masih memilih jalan yang sama, memanjangkan konflik politik lama ke lorong undang-undang, seolah-olah setiap perjanjian antarabangsa yang tidak ditandatangani di bawah pemerintahannya adalah satu bentuk pengkhianatan.
Maka timbul persoalan, apakah ini benar-benar tentang kedaulatan atau hanya soal siapa yang menandatangani perjanjian itu atas nama negara?
Foto Anwar memegang pen Trump dijadikan lambang bahawa Malaysia kini tunduk kepada Amerika.
Ia bahan sentimen yang sedap dijual. Kita lupa bahawa sejak merdeka, banyak perjanjian besar dimeterai hanya dengan sebatang pen oleh tangan Tun sendiri juga dan tiada satu pun yang pernah dianggap sebagai bukti negara dijual.
Jika simbol seperti pen mahu diangkat sebagai bukti jenayah, maka seluruh arkib negara penuh dengan “bukti khianat” sejak Rancangan Malaysia Pertama lagi.
Dunia hari ini tidak bergerak dengan slogan kedaulatan semata-mata. Ekonomi moden beroperasi melalui rantaian bekalan global, perdagangan digital, dan pelaburan strategik yang saling bergantung.
Malaysia tidak lagi hidup pada zaman getah dan bijih timah.
Ironinya, Tun Mahathir jugalah tokoh yang pernah menyeret Malaysia masuk jauh ke dalam globalisasi melalui FDI, penswastaan dan liberalisasi industri.
Namun apabila generasi lain mengurus globalisasi dengan kaedah baharu, tiba-tiba ia digambarkan sebagai penyerahan negara kepada kuasa asing.
Yang berubah bukan ancaman, hanya berubah siapa yang memegang stereng.
Mudah untuk mewujudkan naratif bahawa Anwar bertindak seorang diri, seolah-olah semua kementerian dan institusi hanya duduk menonton. Realitinya, setiap perjanjian perdagangan antarabangsa melalui proses panjang: MITI merunding, kementerian teknikal mengkaji, panel perunding memberi input, Jemaah Menteri meneliti dan Jabatan Peguam Negara menyemak aspek undang-undang.
Jika semua ini kononnya diabaikan, maka yang bocor bukan keputusan seorang Perdana Menteri tetapi keseluruhan struktur kerajaan.
Politik Emosi
Dan jika struktur itu masih berjalan seperti biasa, tuduhan sabotaj tidak lebih daripada slogan politik yang dibalut emosi.
Klausa sekatan, data rentas sempadan dan mineral kritikal dibaca dengan lensa ketakutan lama, seolah-olah Malaysia masih hidup dalam era Perang Dingin.
Dalam perjanjian perdagangan moden, klausa keselamatan dan data memang menjadi kebiasaan. Malaysia tetap mempunyai kuasa menguatkuasakan undang-undangnya sendiri selepas menandatangani mana-mana perjanjian.
Kita masih mempunyai Parlimen, mahkamah dan cabang pentadbiran yang berfungsi. Jika semua ini dianggap sudah hilang hanya kerana satu perjanjian, itu bermakna negara sudah lama roboh cuma kita belum sedar.
Apabila isu nadir bumi, industri halal dan agenda Bumiputera dibangkitkan, ia sebenarnya menyentuh tiga sektor yang paling mudah menggerakkan ketakutan rakyat. Namun sehingga kini, kawal selia halal masih di tangan agensi Malaysia, dasar Bumiputera masih wujud dalam berbagai sektor dan sumber mineral strategik negara tetap ditentukan oleh kerajaan sendiri.
Yang dibina ialah kebimbangan pramatang, bukan ancaman sebenar seperti rawatan doktor palsu suntik dahulu, cari bukti kemudian. Dalam demokrasi, perbezaan pandangan terhadap dasar adalah perkara biasa.
Namun apabila ia ditarik ke balai polis sebagai jenayah khianat, maka kita sedang mengalihkan perdebatan nasional daripada ruang rasional ke ruang emosi dan nostalgia.
Jika setiap perjanjian kerajaan boleh dijadikan asas dakwaan jenayah oleh bekas pemimpin, maka negara akan diperintah bukan oleh keberanian membuat keputusan tetapi ketakutan kepada saman politik.
Natijahnya, Anwar tidak mewarisi negara yang sempurna. Beliau mengambil alih negara yang dibebani hutang besar, ketirisan berlapis, pertumbuhan ekonomi yang lembab dan struktur institusi yang rosak akibat pergolakan bertahun-tahun.
Dalam realiti yang berat itulah Kerajaan MADANI berusaha memulihkan keyakinan pelabur, menarik pelaburan berkualiti, membina hubungan ekonomi strategik, menjaga hubungan dengan kuasa besar tanpa menjadi proksi dan pada masa sama memperbaiki taraf hidup rakyat.
Ia bukan kerja yang popular, namun itulah kerja yang perlu. Sejarah tidak akan mengingati Malaysia melalui laporan polis yang difailkan bekas pemimpin.
Tetapi melalui sejauh mana ekonomi pulih, rakyat mendapat pekerjaan, harga barang terkawal, dan masa depan anak-anak lebih cerah. Rakyat akhirnya menilai kerajaan bukan melalui sentimen khianat tetapi melalui periuk nasi mereka.
Di antara gema retorik lama dan realiti pentadbiran hari ini, keputusan masa depan tetap ditentukan oleh keberanian membina, bukan oleh ketakutan yang diwarisi.








