Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah empat pertuduhan dibacakan.
Beliau didakwa menerima rasuah sebanyak RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral Sabah.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Menurut kertas pertuduhan, insiden pertama berlaku pada 24 November 2023 di tempat letak kereta YTL Majestic Hotel, Jalan Sultan Hishamuddin.
Shamsul, sebagai ejen Kerajaan Malaysia didakwa menerima suapan berjumlah RM100,000 daripada Tei.
Suapan itu dikatakan sebagai dorongan untuk membantu syarikat berkaitan Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Pertuduhan kedua pula menyebut bahawa antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, di sebuah kediaman di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Shamsul didakwa memperoleh suapan berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03, juga daripada Tei Jiann Cheing.
Manakala pertuduhan ketiga melibatkan kejadian pada 29 Januari 2024 di lokasi sama di Bukit Bandaraya, di mana Shamsul didakwa menerima RM40,000 daripada individu sama.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri dengan dakwaan bahawa suapan tersebut diterima bagi faedah dirinya sendiri.
Shamsul kini berdepan proses perbicaraan untuk menjawab semua tuduhan berkenaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Prosiding seterusnya akan menentukan sama ada tuduhan ini dapat dibuktikan di mahkamah dengan pihak pendakwaan dan pembelaan bersedia mengemukakan hujah masing-masing.








