Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 dibacakan terhadapnya.
Pertuduhan itu melibatkan dakwaan pemberian suapan kepada bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Menurut kertas pertuduhan, insiden pertama berlaku pada 24 November 2023 di tempat letak kereta YTL Majestic Hotel, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur, apabila Tei didakwa menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada Shamsul Iskandar.
Beberapa minggu kemudian, antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024, beliau sekali lagi didakwa memberi suapan berupa perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 di sebuah kediaman di Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Tidak lama selepas itu, pada 29 Januari 2024, di alamat sama di Bukit Bandaraya, Tei didakwa menyerahkan wang tunai berjumlah RM40,000 kepada Shamsul.
Pertuduhan terakhir pula menyebut bahawa antara 26 Februari hingga 5 Mac 2024, di Presint 14, Putrajaya, beliau memberi suapan berbentuk perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249.
Kesemua pemberian itu dikaitkan dengan usaha mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert Tei hadir di mahkamah dan menafikan semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan memilih untuk dibicarakan.
Pendakwaan dilakukan mengikut peruntukan undang-undang rasuah yang memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara dan denda jika sabit kesalahan.








