PUTRAJAYA: Hanya tinggal sehari sebelum tirai dibuka, Dataran Putrajaya kini bersiap sedia menerima ribuan pengunjung sempena Program Rancakkan MADANI, yang akan berlangsung dari 5 hingga 7 Disember 2025 bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam.
Acara tiga hari itu dijangka menjadi tumpuan nasional dengan pelbagai aktiviti, perkhidmatan percuma dan pameran yang mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI.
Lebih daripada sekadar karnival, ia adalah wadah mempertemukan rakyat dengan pelbagai inisiatif kerajaan dalam suasana santai, inklusif dan penuh warna-warni.
Pengunjung bakal menikmati pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik termasuk pemeriksaan kesihatan, pameran TVET dan STEM, karnival kerjaya serta mini karnival pelancongan.
Tidak ketinggalan, Temasya Kopi yang dijangka menjadi daya tarikan utama buat pencinta kopi tempatan.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan percuma seperti penukaran topi keledar, tukar minyak hitam, gunting rambut serta peluang memenangi hadiah melalui cabutan bertuah.
Aktiviti hiburan seperti pertandingan e-sukan juga menanti golongan belia.
Program ini bukan sekadar pesta rakyat tetapi simbol keterhubungan antara kerajaan dan masyarakat.
Ia menekankan nilai keterangkuman, kesejahteraan dan kemajuan, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Lebih istimewa, acara ini turut disertai oleh pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan khidmat nasihat, peluang pekerjaan serta pameran inovasi.
Dengan kehadiran ribuan pengunjung yang dijangka membanjiri Dataran Putrajaya, program ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk mendekatkan dasar dan perkhidmatan kepada rakyat.
Bagi melancarkan perjalanan acara, beberapa laluan utama di sekitar Dataran Putrajaya telah ditutup secara berperingkat sejak 23 November lalu dan akan berterusan sehingga 10 Disember 2025.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.







