PARLIMEN | Kerajaan kini melangkah lebih tegas dalam usaha melindungi golongan muda daripada bahaya dunia digital dengan memperkenalkan peraturan baharu yang bakal menyekat akses media sosial bagi pengguna bawah usia 13 tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), dengan tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dalam talian.
“Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 13 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Langkah itu turut menuntut penyedia platform digital menyediakan pelan keselamatan dalam talian sebagai bukti pematuhan terhadap kewajipan di bawah Akta 866, sekali gus memastikan ketelusan dan akauntabiliti mereka.
Fahmi berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat dan lestari khususnya bagi kanak-kanak, keluarga serta golongan rentan yang mudah terdedah kepada kandungan memudaratkan.
Beliau menjelaskan, Akta 866 digubal bagi mengawal selia kandungan berbahaya serta menetapkan kewajipan kepada penyedia aplikasi, kandungan dan rangkaian yang dilesenkan.
Selain itu katanya, kerajaan turut menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial di bawah Akta 588, yang mewajibkan mereka memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Untuk menyokong kerangka pelesenan ini, Fahmi berkata, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, kod tersebut menekankan keperluan melaksanakan verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan ibu bapa yang efektif serta memperkasa fungsi perlindungan kendiri bagi pengguna kanak-kanak.








