KOTA KINABALU: Politik Sabah kehilangan seorang tokoh penting apabila Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi akibat komplikasi kesihatan melibatkan kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Bung Moktar disahkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, menerusi hantaran di laman Facebook.
“Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir.
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan hospital sebaik berita duka itu tersebar.
Beberapa pemimpin UMNO Sabah termasuk Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, dilihat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Jenazah beliau dijangka dibawa ke kediamannya di Damai, Kota Kinabalu, sebelum disemadikan.
Allahyarham Bung Moktar, 66, merupakan antara tokoh politik paling berpengaruh di Sabah.
Beliau telah lama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, selain pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Dikenali sebagai pemimpin lantang, Bung Moktar sering memperjuangkan isu-isu rakyat Sabah di Parlimen dan dalam arena politik negeri.
Malah, pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 November lalu, beliau sekali lagi diberi mandat oleh rakyat apabila dipilih sebagai wakil rakyat DUN Lamag.
Pemergian Bung Moktar Radin bukan sahaja satu kehilangan besar buat UMNO dan BN Sabah tetapi juga buat rakyat Sabah yang melihat beliau sebagai suara lantang memperjuangkan kepentingan negeri.
Kehilangan ini pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan seperjuangan, dan masyarakat Kinabatangan yang selama ini bergantung kepada kepimpinan beliau.
Al-Fatihah buat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.








