PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi Jumaat, menyifatkan pemergian tokoh politik berpengaruh itu sebagai kehilangan besar buat Sabah dan negara.
Dalam kenyataannya, Anwar berkata, Bung Moktar bukan sahaja seorang sahabat lama tetapi juga pemimpin yang dikenali dengan ketegasan dan prinsip yang jelas dalam perjuangan politiknya.
“Allahyarham seorang yang lantang memperjuangkan kepentingan rakyat khususnya di Sabah.
“Jasa serta komitmennya akan terus dihargai,” katanya.
Perdana Menteri turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.
“Semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan ditempatkan pada kedudukan istimewa di sisi-Nya,” ujarnya.
Bung Moktar, yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag, telah lama menjadi antara tokoh politik paling berpengaruh di negeri itu.
Beliau mula aktif dalam arena politik sejak 1990-an dan terus mengekalkan pengaruh kukuh di Kinabatangan serta Lamag sehingga akhir hayatnya.
Sepanjang lebih dua dekad khidmatnya sebagai wakil rakyat, Bung Moktar dikenali sebagai figura lantang yang tidak gentar menyuarakan kepentingan rakyat Sabah, menjadikan beliau antara nama besar dalam landskap politik negeri dan nasional.
Pemergian beliau bukan sahaja meninggalkan kekosongan dalam kepimpinan BN Sabah tetapi juga menutup satu bab penting dalam sejarah politik Malaysia khususnya bagi masyarakat Kinabatangan dan Lamag yang telah lama bergantung kepada kepimpinan beliau.








