Seluruh Masjid Sabah Diarah Laksana Solat Jenazah Ghaib Untuk Bung Moktar

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada Jumaat mengeluarkan arahan rasmi kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid di seluruh negeri agar melaksanakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat bagi menghormati pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2025, JHEAINS memaklumkan bahawa Bung Moktar telah meninggal dunia pada hari yang sama dan menyeru seluruh komuniti Islam negeri itu untuk bersama-sama mendoakan roh beliau.

“Arahan ini dikeluarkan sebagai tanda penghormatan atas jasa dan sumbangan Almarhum kepada negeri Sabah,” kata Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam, Awang Juri Ag Tahir, yang menandatangani surat tersebut bagi pihak Pengarah JHEAINS.

Menurut beliau, solat jenazah ghaib akan dilaksanakan serentak di semua masjid negeri Sabah selepas solat fardu Jumaat sebagai sebahagian daripada penghormatan terakhir kepada tokoh politik yang telah lama berkhidmat dalam pentadbiran negeri.

Bung Moktar, yang dikenali sebagai figura lantang dalam politik Sabah pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.

Pemergiannya mengejutkan ramai pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Surat tersebut turut menggalakkan umat Islam untuk hadir dan bersama-sama menunaikan solat serta mendoakan kesejahteraan roh Almarhum.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat