Ahli Parlimen PN Ditahan SPRM Terkait Projek Fidlot Kerajaan Negeri Kedah

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung projek usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri.

Penahanan itu dilakukan selepas siasatan intensif sejak Februari lalu berhubung dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan mempengaruhi urusan mendapatkan hak penggunaan tanah bagi projek fidlot terbabit.

Menurut sumber, aduan berhubung kes tersebut mula diterima pada 10 Februari 2025 sebelum kertas siasatan dibuka.

“Aduan diterima pada 10 Februari 2025 dan kertas siasatan telah dibuka susulan maklumat itu.

“Setakat ini, seramai 15 saksi sudah dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa siasatan melibatkan semakan dokumen serta beberapa siri pengesanan transaksi kewangan bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan Ahli Parlimen berkenaan.

Menurut beliau, keterangan individu terbabit diambil di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, kertas siasatan kini berada pada peringkat akhir dan pertuduhan dijangka dibuat sebaik proses semakan selesai.

SPRM sebelum ini menegaskan komitmen memperketat pemantauan terhadap projek agro kerajaan negeri susulan beberapa aduan membabitkan rundingan tanah dan pemberian kontrak.

Anda Mungkin Berminat