Anwar Dijadual Ketemu Hajiji, Kabinet Perpaduan Sabah Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berada di Sabah esok (Sabtu) bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Kabinet Perpaduan Sabah yang baharu, dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri itu.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, pertemuan tersebut akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam menangani pelbagai isu strategik termasuk pembangunan infrastruktur, penyampaian perkhidmatan, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.

Beliau berkata, kesepaduan Kabinet Perpaduan Sabah diyakini akan memperkukuh hubungan kedua-dua peringkat kerajaan dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat dijalankan secara efektif.

“Perdana Menteri akan mendengar secara langsung pandangan rakyat dan menilai sendiri keperluan semasa negeri Sabah.

“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat bersama kepimpinan Sabah dalam semangat MADANI bagi memastikan pembangunan Sabah dapat dilaksana secara menyeluruh, inklusif dan mampan,” katanya lagi.

Selain pertemuan rasmi bersama kepimpinan negeri, Anwar juga dijadual menghadiri Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada sebelah petang.

Anda Mungkin Berminat