PETALING JAYA: Penyelesaian aman melalui dialog dan saluran diplomasi adalah kunci bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan di rantau Asia Selatan khususnya di sempadan Afghanistan dan Pakistan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat, Anwar berkongsi bahawa beliau telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau tersebut.
“Mengenai perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, saya menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau tersebut dan berharap agar semua pihak dapat mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan saluran diplomasi demi mengelakkan ketegangan yang berpanjangan,” katanya.
Selain isu keselamatan serantau, Anwar turut mengambil kesempatan untuk berkongsi situasi semasa banjir yang melanda Malaysia serta negara sahabat termasuk Indonesia dan Thailand.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia mengekalkan hubungan erat dengan negara-negara jiran.
Ketegangan ketenteraan antara Afghanistan dan Pakistan dilaporkan kembali memuncak selepas beberapa siri serangan dan pertempuran di sepanjang sempadan, meskipun gencatan senjata telah dimeterai pada pertengahan Oktober lalu.








