KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Turut bersama, Datuk Arifin Arif yang menzahirkan kesedihan atas pemergian tokoh politik itu, sambil mengenang jasa dan sumbangannya terhadap pembangunan politik serta kemajuan negeri Sabah.
Jenazah Allahyarham ditempatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Majlis penuh hiba itu turut disertai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir mengiringi jenazah sahabatnya.
“Hari ini, di bumi Sabah yang menjadi gelanggang perjuangannya sekian lama, saya hadir dengan hati yang hiba dan langkah yang terasa sayu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada sahabat saya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
“Suasana sebak yang menyelimuti para hadirin seakan-akan menggambarkan betapa besar kasih rakyat Sabah terhadap beliau.
“Ramai yang datang bukan sekadar untuk mengiringi jenazah, tetapi untuk mengirimkan doa dan menghargai seluruh bakti seorang pejuang yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam berkhidmat,” katanya.
Zahid turut berkata bahawa Bung Moktar meninggalkan legasi perjuangan yang tidak pernah surut, sentiasa memikirkan rakyat Sabah dan amanah yang dipikul sepanjang hayatnya.
“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat. UMNO kehilangan seorang pejuang. Dan Sabah kehilangan seorang anak watan yang tidak pernah berhenti mencintai tanah kelahirannya,” katanya.








