AirAsia Benar Kru Kabin Berhijab Bermula Ramadan 2026

SEPANG: AirAsia mengumumkan pembaharuan polisi pakaian seragam kru kabin dengan membenarkan kru wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas.

Polisi baharu itu dijangka berkuat kuasa bermula Ramadan 2026.

Seragam ikonik berwarna merah akan terus mengekalkan reka bentuk profesional yang sama, namun kini hadir dengan pilihan hijab dan seluar sepertimana yang telah digunakan oleh kru di laluan Jeddah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, seragam AirAsia sentiasa menitikberatkan aspek profesionalisme, keselamatan dan keselesaan.

Evolusi terbaru itu, katanya, memberi ruang kepada kakitangan untuk mengekspresikan identiti mereka selaras dengan kepercayaan peribadi.

“Kru kabin AirAsia sebelum ini telah memakai hijab di beberapa laluan tertentu seperti Jeddah, di mana ia diwajibkan mengikut peraturan tempatan.

“Kini, fleksibiliti ini diperluaskan kepada semua kru kabin wanita yang ingin memakainya, sambil mengekalkan identiti jenama profesional AirAsia,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, Allstars AirAsia terdiri daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun tetap bersatu dalam komitmen memberikan perkhidmatan bertaraf dunia kepada penumpang.

“Polisi baharu ini mencerminkan semangat kepelbagaian dan dinamik yang menjadi teras identiti AirAsia.

“Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars dan bekerjasama rapat dalam reka bentuk dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat